bar

jumlah pelawat

11 May, 2012

Kini Terbela Sepenuhnya Nasib Kanak-kanak Didera Ibu


KUALA LUMPUR – Andai ada di antara pembaca yang belum tahu, nasib kanak-kanak yang didera ibunya tahun lalu dan klip video mengenainya yang menjadi topik panas semalam, kini berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Untuk pengetahuan semua, mangsa baru berusia 10 bulan sahaja ketika dia dibelasah ibunya.
Pengarah Kanak-kanak JKM, Arfan Sulaiman mengesahkan mengenai nasib terkini kanak-kanak itu.
“JKM mengambil maklum mengenai penyebaran video kes penderaan kanak-kanak yang berusia 10 bulan di Youtube dan Facebook.
“Walau bagaimanapun, video tersebut adalah kes yang berlaku pada tahun lepas dan JKM telah pun menyelamatkan kanak-kanak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kisah kanak-kanak yang didera tahun lalu itu menjadi topik yang sangat panas dalam media sosial semalam dengan begitu ramai pihak meluahkan rasa terperanjat dan sedih mereka dengan apa yang berlaku.
Menjelang petang semalam, laman sosial Facebook dan Twitter Polis DiRaja Malaysia menerima sehingga 300 laporan berhubung kes berkenaan, sehingga mendorong pihak berkuasa itu menjelaskan bahawa kes tersebut sebenarnya berlaku tahun lalu di Petaling Jaya.
Polis juga menjelaskan ibu kanak-kanak berkenaan yang merupakan pendera dalam klip terbabit telah ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan.
Arfan dalam kenyataan yang sama turut menyeru kepada orang ramai yang mengetahui mengenai mana-mana kes penderaan agar segera menghubungi Talian Nur pada nombor 15999.
“Talian ini beroperasi 24 jam sehari,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak dan disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-dua sekali.

No comments:

Post a Comment

terima kasih sebab comment